RSS

QAILULAH : IBADAH MUDAH BANYAK FAEDAH

13 Feb

Saya masih ingat sewaktu memulakan pengajian menengah di Maktab Mahmud, ustaz ustazah mahupun abang-abang senior berkongsi ilmu tentang salah satu sunnah Rasul Salallahu ‘Alaihi Wasallam ialah Qailulah yakni tidur seketika pada waktu tengahari. Berpegang kepada sunnah semata-mata, waktu itu saya tak pernah mengerti apakah kelebihan amalan ini dari sudut kesihatan fizikal dan mental ataupun manfaat dari aspek yang lain.

Baru-baru ini, semasa membaca akhbar Berita harian Edisi 8 Februari 2011, saya menemui kelebihan dan faedah dari amalan Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam itu melalui satu artikel bertajuk “Tidur Sekejap” yang ditulis oleh Sharifah Salwa Syed Akil. SubhanAllah Wa SollAllahu ‘Alaika Ya Muhammad, amalan yang mudah dilaksana ini mempunyai pelbagai kelebihan khususnya untuk kesihatan fizikal dan mental seorang manusia.

Qailulah bermaksud tidur sekejap di waktu tengahari. Daripada Anas RadhiAllahu anhu, sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam : “Berqailulah lah kerana sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.” (riwayat Tabrani). Persoalannya di sini, tidur sekejap tu dalam tempoh berapa lama dan tengahari itu pada waktu mana?

Mengikut pakar kesihatan yang mengkaji tentang kebaikan amalan qailulah ini, maksud tidur sekejap itu ialah antara 30 minit hingga 1 jam. Donal Greelley juga berpendapat tidur tengahari yang bermanfaat ialah tidak melebihi satu jam. Pengarang buku ‘ Indahnya Saat BersamaMu: Panduan Praktikal Qiamullail’ pula menyatakan, waktu tengahari ialah masa sebelum matahari tergelincir (masuk waktu Zohor)

Dari kacamata Islam, amalan qailulah dapat memberi kesegaran ke atas kepada tubuh badan untuk melaksanakan amal ibadah lebih berkualiti sepanjang hari tersebut. Selain itu, seorang ulama bernama Ishaq bin Abdullah pula berkata qailulah ialah suatu amalan yang boleh menguatkan hati dan membantu untuk bangun malam (qiamullail) berdasarkan lisan Nabi Salallahu Alaihi Wasallam : “Bantulah puasa di siang hari dengan makan sahur dan bantulah qiamullail dengan qailulah.” (Ibn Majah)

Berikut kelebihan amalan qailulah daripada kacamata saintifik dan pakar kesihatan

1. Tidur sekejap pada waktu tengahari didapati amat berkesan mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seorang pekerja

2. Perunding Respiratori, Institut Perubatan Respiratori, Dr. Ashari Yunus mengakui tidur sekejap antara 30 minit hingga sejam dapat membantu terutama pelajar mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Beliau berkata minda seorang manusia seumpama sebuah komputer yang perlu diformat dan dicuci dari pelbagai kekotoran. Dengan tidur sekejap minda pelajar akan kembali segar selepas penat belajar. Menurutnya lagi, tidur sekejap ini juga dapat membantu menguatkan daya ingatan dan mampu mempamerkan prestasi kerja dan pembelajaran yang lebih memberansangkan.

3. Kajian menunjukkan tidur selama 30 minit secara rutin mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30% lebih rendah berbanding yang lain. Menurut sarjana, fasa tengahari diistilahkan sebagai fasa kelesuan dan keletihan bekerja pada fasa tersebut boleh mendorong seseorang itu mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus dan mudah marah. Justeru dengan tidur selama 30 minit mampu mengembalikan kesegaran kepada otak untuk berfikir lebih pantas dan tubuh untuk menghasilkan tenaga yang optimum sekaligus mengurangkan tekanan dan keresahan.

4. Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif sejak pagi

5. Sudut kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan lebih tenang daripada tekanan sebaik bangun daripada tidur dan bersedia melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan hingga ke petang.

Jadi, berdasarkan manfaat dan kelebihan di atas, harap-harap selepas ini adalah cadangan di peringkat Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelajaran untuk menggubal semula waktu bekerja dan pembelajaran agar segala kebaikan di atas dapat dihayati seterusnya meningkatkan tahap produktiviti negara dan kecemerlangan akademik pelajar di Malaysia ;)…Selamat Beramal!

 
Leave a comment

Posted by on February 13, 2012 in KUASA BERTINDAK

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: